September 15, 2010

[Terkini] Kes Pembunuhan Datuk Sosilawati | Lagi Bahan Bukti ditemui

Sosilawati di bunuh pukul 10 malam, 30 Ogos

KUALA LUMPUR: Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang bersamanya, dikatakan dibunuh, kira-kira jam 10 malam, 30 Ogos lalu, iaitu pada hari sama keempat-empat mangsa dilaporkan menemui seorang peguam bergelar Datuk di Banting, Selangor, untuk urusan jual beli tanah.

Perkara itu didedahkan suspek hasil soal siasat yang dilakukan polis, sekali gus menolak teori kononnya Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44, peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38, masih hidup selepas tiga hari kehilangan mereka dilaporkan.

Menurut sumber, kira-kira dua jam sebelum dibunuh dan dibakar di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, Noorhisyam dipaksa menelefon isterinya, Suzana Radin Pangat, 38, bagi memaklumkan beliau akan pulang selepas tiga hari.

“Tempoh tiga hari yang dinyatakan itu mungkin taktik kumpulan penjenayah itu untuk menghapuskan segala bukti sebelum ahli keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan mereka,” katanya.

Beliau berkata, Sosilawati dan dua lagi mangsa pula tidak dibenarkan menelefon keluarga masing-masing kerana kumpulan penjenayah itu percaya maklumat yang disampaikan Noorhisyam akan disebarkan kepada semua keluarga mangsa terbabit.

“Hanya Noorhisyam dibenar menghubungi isterinya, tetapi dengan kawalan dan pengawasan ketat kumpulan penjenayah terbabit menyebabkan panggilan itu berlaku dalam keadaan tergesa-gesa.

“Sebab itu, Noorhisyam dalam perbualan dengan isterinya antara lain meminta maaf dan mengaku tidak dapat memberitahu apa yang berlaku terhadapnya dan berjanji untuk menceritakan segala-galanya selepas tempoh tiga hari,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Suzana menerima panggilan daripada suaminya pada jam 8.15 malam, 30 Ogos lalu.
Suzana berkata, beliau hairan kerana suaminya bercakap dalam keadaan tergesa-gesa tetapi beliau tidak membuat laporan polis kerana suaminya akan pulang tiga hari lagi.

Pembunuhan kejam Sosilawati bersama tiga individu itu hanya terbongkar pada 10 September lalu selepas lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya juga seorang peguam, ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan mangsa.

Sumber berkata, Sosilawati dan tiga individu itu dipercayai dibunuh kerana penjenayah itu menghadapi kesukaran untuk menjaga mangsa serta bimbang dikesan polis.

“Siasatan terperinci sedang dilakukan bagi memastikan sama ada terdapat individu lain terbabit dalam kes pembunuhan kejam ini serta kaitan lapan suspek yang ditahan itu dengan kes berkenaan dan kehilangan empat individu lain yang dilaporkan hilang sejak setahun lalu.

“Bahan bukti yang diperoleh sedang dikumpul untuk dilakukan ujian forensik. Siasatan awal pula mendapati motif pembunuhan itu mempunyai kaitan dengan masalah perniagaan, tetapi siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Polis Temui Zink yang dipercayai digunakan untuk membakar mangsa

BANTING: Enam keping atap zink yang mempunyai kesan terbakar, dipercayai digunakan suspek sebagai alas ketika membakar mangsa kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, ditemui penyelam Pasukan Gerakan Marin, di Sungai Gelanggang Buaya, di Kampung Kelanang, dekat sini, petang semalam.


Penemuan atap zink itu hasil soal siasat dua suspek yang turut dibawa oleh polis ke kawasan pencarian pada jam 5.20 petang semalam.



Anggota Unit Gerakan Marin menggunakan alat mengesan logam bagi mencari barangan milik maangsa di sungai Kanchong Laut, Banting, semalam.


Polis juga menemui dua jam tangan termasuk jenama mewah Rolex dan Longines serta seutas jam tangan Seiko, dipercayai milik mangsa dalam Sungai Kanchong Laut, di sini.


Jam lelaki berjenama mewah yang mempunyai nombor siri dipercayai milik seorang daripada tiga lelaki yang dibunuh, manakala Rolex dipercayai milik Sosilawati. Turut ditemui ketika operasi mencari ialah sebilah pisau dan sebatang besi, tetapi tiada kaitan dalam kes berkenaan.


Difahamkan, polis sedang mencari besi cangkuk sawit yang dikatakan digunakan untuk membunuh keempat-empat mangsa berkenaan. Penyelam dilihat menggunakan alat pengesan besi bagi mengesan senjata dan barang peribadi yang dipercayai dibuang di kawasan berkenaan.


Ketika operasi, polis turut membawa tiga suspek bagi memudahkan pengecaman barang yang dijumpai dan mereka hanya menggeleng atau menganggukkan kepala apabila ditunjukkan barang yang ditemui.


Selain anggota polis dan petugas media, penduduk kampung dan orang awam turut berkumpul di tepi jalan berhampiran lokasi pencarian untuk melihat lebih dekat operasi, manakala anggota Trafik mengawal lalu lintas dan menghalang orang ramai daripada berkerumun lebih dekat di kawasan operasi.


Sementara itu, tiga kenderaan Pasukan Penyiasat Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat dilihat memasuki kawasan Ladang Gadong dekat sini, kira-kira jam 5.50 petang bagi membantu polis menyiasat kes bunuh dan bakar itu.


Dalam pada itu, seorang suspek dibawa ke dalam semak berhampiran Apartmen Angsana, Taman Subang Mewah di Subang Jaya iaitu tempat kereta BMW milik Sosilawati ditemui, bagi mencari barang kes dipercayai kunci kereta mewah berkenaan.


Selepas hampir setengah jam berada di kawasan semak itu, polis menemui barang kes yang mungkin boleh dijadikan bukti. — Berita Harian

2 comments:

CERITA LEBAT said...

semoga penjenayah terbabit cepat diberkas

aizatshafiq said...

@cerita lebat

tu yang kita harapkan sekarang...
biar lah penjenayah tu dikenakan tindakan sewajarnya...