September 12, 2010

[Terkini] Kes Pembunuhan Datuk Sosilawati | Suspek utama ditahan

BANTING: Polis mengesahkan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga orang lagi mati dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata polis masih perlu mendapatkan pengesahan forensik untuk mengesahkan sepenuhnya perkara tersebut.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Banting di sini Ahad.
Tiga lagi yang lain ialah pemandu Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah. - BERNAMA
SUSPEK KES PEMBUNUHAN DATUK SOSILAWATI KINI DITAHAN PIHAK POLIS


Anggota Polis dari Jabatan Forensik melakukan siasatan pada bahan bukti kes pembunuhan Datuk Sosilawati. Keempat-empat dipercayai dipukul sehingga mati sebelum dibakar di sebuah ladang ternakan ayam dekat sini dan abu mayat dibuang di sebuah sungai di Tanjung Sepat, Morib di Banting.

BANTING: Polis menahan seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya serta enam pekerja kebun kelapa sawit milik mereka di mana jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dipercayai dibunuh.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata kesemua suspek dipercayai terlibat membunuh mangsa sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebuah anak sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Kuala Langat di sini, Mohd Bakri berkata polis membuat tangkapan pertama pada 10 September melibatkan lima orang.
Semalam, Datuk itu dan adiknya yang juga seorang peguam dan berpusat di sini ditahan manakala seorang lagi suspek ditahan pada Ahad.
Beliau berkata hasil penyiasatan polis, mereka mengaku bertanggungjawab dalam membawa kesemua mangsa ke kebun kelapa sawit itu seluas 1.6 hektar, sebelum memukul sehingga mati dan membakar mayat kesemua mangsa.
Selain Sosilawati, turut dibunuh pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.
Bagaimanapun, Mohd Bakri berkata beliau tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar kesemua mereka dibunuh, tetapi ia mungkin di antara tarikh mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos sehinggalah semalam.
Mengenai motif kejadian, beliau berkata ia lebih ke arah saingan perniagaan dan urusniaga kewangan di antara suspek utama (kedua-dua peguam) dan Sosilawati.~BERNAMA


Konflik Perniagaan Merupakan Punca Pembunuhan Datuk Sosilawati



KUALA LANGAT: Konflik perniagaan dipercayai menjadi motif kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain sejak 30 Ogos lalu yang kemudiannya ditemui mati dipercayai dibunuh dan dibakar sebelum abu mereka dibuang di sebatang sungai berhampiran lokasi kejadian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, motif pembunuhan juga disebabkan hal berkaitan kewangan.
“Kami sedang menyiasat mengenainya sama ada motif adalah masalah persaingan, hutang atau mungkin juga melibatkan perjanjian-perjanjian tertentu dalam perniagaan mereka,” katanya pada sidang media di sini, Ahad.
Berdasarkan pengakuan empat daripada lapan suspek yang ditahan polis termasuk seorang peguam bergelar Datuk, Sosilawati bersama tiga individu lain mati dibunuh sebelum dibakar dan abu mayatnya dibuang di sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.
Pengakuan itu merungkai penemuan empat mayat di lokasi kejadian pada Sabtu namun masih belum dipastikan ia adalah Sosilawati dan lain-lain berikutan Jabatan Forensik PDRM dan Jabatan Kimia kini masih menjalankan siasatan.
Berhubung wang tunai RM4 juta yang dipercayai dikeluarkan mangsa bagi membeli sebidang tanah di Pulau Pinang sebelum mereka dilaporkan hilang, Mohd Bakri berkata, polis akan menyiasat mengenainya.
Ini kerana katanya, pihak polis sedang melakukan siasatan terhadap suspek yang ditahan.
“Namun kemungkinan dipercayai berkaitan dengan urusan jual beli tanah,” kata Mohd Bakri.
Selain Sosilawati, tiga individu terbabit adalah pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

No comments: