August 31, 2010

Norman Hakim, Memey bertunang Hari Raya Keempat


KUALA LUMPUR 30 Ogos - Setelah sekian lama berteka-teki, akhirnya aktres Memey Suhaiza, 22, membuat kenyataan yang dia akan mengikat tali pertunangan dengan bekas suami pelakon popular, Abby Abadi iaitu Norman Hakim pada hari raya keempat ini.

Menurut Memey, rombongan keluarga kekasihnya, Norman, akan tiba di rumah keluarganya di Kota Tinggi, Johor pada 13 September ini.

"Norman menyuarakan hasratnya untuk mengikat tali pertunangan pada hari tersebut beberapa hari yang lalu dan keluarga kami bersetuju dengan cadangan itu.

"Rombongan Norman akan datang merisik lalu terus bertunang pada hari yang sama dan kami merancang untuk bernikah pada awal tahun depan," ujar Memey ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Skop Productions di Finas di sini, hari ini.

Ujar Memey, dia kini sedang merancang majlis pertunangannya namun hanya berkesempatan untuk menguruskannya dua hari sebelum raya kerana sibuk dengan penggambaran telefilemOsman Berani untuk Astro Ria.

Menurut Memey, dia berasa berdebar untuk bergelar tunangan orang dan dalam masa yang sama berdoa semuanya berjalan dengan lancar.

Sebelum ini, Memey dan Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 34, dibicarakan atas tuduhan berada bersama dalam keadaan yang menimbulkan syak di pejabat milik Norman di Taman Ukay Perdana, Ampang.

No comments: