October 11, 2010

Kemalangan Ngeri di KM 223, Lebuhraya Utara-Selatan, 12 terbunuh

Kemalangan ngeri yang berlaku di KM 223, di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Pedas mengorbankan seramai 12 orang. Yang mana 9 daripadanya merupakan warga tempatan, manakala 3 yang lain merupakan warga Myanmar.


Kemalangan berlaku jam 7.12 malam apabila sebuah bas Ekspres Delima dari arah selatan menuju ke Kuala Lumpur terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah van. Sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tiga kereta turut terbabit dalam kemalangan itu.

Setakat tengah malam tadi, jumlah sebenar mangsa belum dikenal pasti kerana semua yang terbabit sama ada yang meninggal dunia dan cedera, termasuk parah dihantar ke hospital.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom, berkata kemalangan berlaku di lebuh raya menghala ke selatan, iaitu di antara Hentian Pedas-Linggi dan Plaza Tol Simpang Ampat. 

“Sebahagian besar mangsa dihantar ke Hospital Tampin, Alor Gajah dan Melaka bagi memudahkan mereka menerima rawatan kerana kemalangan berlaku di lebuh raya menghala ke selatan,” katanya kepada Berita Harian malam tadi. 

Sementara itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat, berkata 24 pegawai dan anggota dari balai Rembau, Tampin dan Alor Gajah dihantar ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa. 
Seorang penumpang bas ekspres yang cedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS), Nur Najlaa Aqilah Mohd Ghazali, 19, berkata dia sedang tidur ketika kejadian.

Pelajar Universiti Malaya itu berkata, dia terkejut daripada tidur apabila bas bergoyang kuat dan berpusing beberapa kali sebelum terbabas di lebuh raya bertentangan.

“Bas menimpa sebuah kereta sebelum dirempuh sebuah bas dari arah bertentangan. Keadaan kelam kabut dan nasib baik saya hanya cedera ringan,” katanya yang cedera muka dan tangan.

Bas Ekspres Terbang Sebelum Merempuh Kenderaan Lain

Anggota Bomba sedang membersihkan sisa serpihan di atas jalanraya

ALOR GAJAH: “Sebaik keluar dari kereta, saya terlihat mayat pemandu van putih terjuntai dari pintu tingkap, manakala bas Delima Ekspress pula melintang di tengah-tengah lebuh raya sehingga menutupi ketiga-tiga lorong laluan menuju ke Alor Gajah.

“Selepas itu, saya berlari ke arah bas berkenaan dan terlihat pemandu kenderaan itu mengadu kesakitan akibat tangannya tersepit di stereng. Saya cuba membantu tapi tak berjaya,” kata Md Razel Sarmin, 38, pemandu Honda City yang terselamat dalam kejadian itu.
Ketika ditemui di tempat kejadian, Md Razel berkata sejurus sebelum insiden yang meragut 12 nyawa itu, dia bersama tujuh ahli keluarganya yang lain sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Pontian, Johor, apabila bas Delima Ekspress itu tiba-tiba ‘terbang’ dari arah sebelah.
Mayat diletakkan di tepi jalan ketika operasi menyelamat

“Saya sempat melihat bas itu merempuh Toyota Hiace, sebelum van itu berpusing beberapa kali. Saya berjaya mengelak dari terkena bas itu, namun tetap tergesel dengan van berkenaan.

“Sejurus selepas itu, saya terus menghentikan kereta dan meminta semua tujuh ahli keluarga lain keluar. Selepas itu, baru saya perasaan terdapat banyak mayat bergelimpangan di atas permukaan jalan,” katanya.

Seorang lagi saksi kejadian, Abdul Hamid Hassan, 55, pesara tentera dari Taman Rambai Jaya, dekat sini, yang turut terselamat dalam kejadian itu berkata, sejurus sebelum kemalangan itu, dia sedang tidur. 
Abdul Hamid yang duduk di bahagian depan bas berkata, dia hanya tersedar apabila bas berkenaan berhenti secara mengejut.

“Sebaik membuka mata, saya terperanjat apabila melihat sebuah bas sedang melintang di tengah jalan dan ketika itu juga pemandu bas kami cuba mengelak. Bagaimanapun, bas tetap terlanggar bahagian belakang kenderaan itu.

“Saya dimaklumkan tiga rakan kami termasuk seorang wanita yang sedang mengandung cedera dan terpaksa dikejarkan ke hospital,” katanya sambil mengakui turut melihat dua mayat terbaring di atas jalan termasuk satu tanpa kepala. 

Difahamkan, bas JKM terbabit membawa bekas tentera yang menghadiri Perhimpunan Raksasa Persatuan Bekas Tentera Malaysia di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, petang semalam. 

1 comment:

The Sharkox said...

The Sharkox: Gambar-gambar dan keterangan saksi 10.10.10, ada keterangan saksi yang hanya 5 saat cepat dari menjadi mangsa eksiden